Sabtu, 23 November 2019

Cerpen Berkat



Mata semakin kuyu. Dahiku berkerut sambil tanganku menongkat dagu memerhatikan sehelai kertas A4 di hadapan yang sarat dengan maklumat. Fikiranku cuba untuk mengulang dan mengingati segala info yang dinyatakan, namun tetap tak berdaya.

“Arghhh, susahnya benda ni!”, batinku menjerit tanda semakin kalah dengan tekanan.

Kuhempaskan pen di tangan dan menyandarkan belakangku pada kerusi office sambil cuba melelapkan mata seketika. Kusut. Hatiku menjadi haru-biru tatkala memikirkan tarikh peperiksaan akhir semester yang hanya berbaki sebulan sahaja dari sekarang. Buku kuliah masih bertimbun di atas meja. Entah mampu dihabiskan ataupun tidak.

“Padan muka! Siapa suruh tak buka buku awal-awal!”, sekali lagi aku bermonolog sendirian. Cuma kali ini lebih menghukum diri ini yang cuai dan alpa.

Kubiarkan seketika nota-nota di atas meja. Lantas bangkit dari kerusi belajar dan segera merebahkan diri kembali di atas tilam yang dipenuhi baju serta seluar yang masih tak berlipat. Kutoleh ke atas seketika sambil cuba melelapkan mata. Tak berhasil. Di kala cuba menghanyutkan diri di alam mimpi, sejenak pandanganku mengarah ke sudut kiri bilik memerhatikan sebatang tubuh yang begitu asyik menghadap skrin komputer di mejanya. Dari semalam tak berhenti-henti mengetap papan kekunci sambil telinganya disumbat dengan earphone barunya berjenama Dr. Dre.

Itulah Kamal. Teman sebilik dan juga rakan sepermainanku di kuliah. Aku hanya mula mengenalinya di sini dan ditakdirkan tinggal serumah sejak tahun pertama lagi. Biarpun begitu, aku tidaklah begitu rapat dengannya. Banyak perkara yang kami sering berbalah dan tidak sekepala. Kamal yang kukenal sejak dulu adalah seorang yang malas dan tidak begitu mempunyai minat mendalam pada bidang medik. Dia pernah menyatakan bahawa kehadirannya di Mesir adalah atas alasan desakan keluarganya, bukan atas dasar minat. Aku bersimpati, akan tetapi turut berasa sedikit pelik dengan dirinya. Walapun sangat jarang dilihat menelaah pelajaran, namun Kamal tetap lulus dengan cemerlang dalam setiap peperiksaan yang dijalankan. Jikalau dinilai pada usaha, sangatlah jauh daripada yang aku jangka. Di kuliah pun tak kelihatan kelibatnya hatta ‘study group’ pun dia tak datang. Rasa sangsi mula menjelma di benakku pabila memikirkan perkara ini.

“Mal, aku tengok kau ni asyik duduk melangut depan komputer sahaja. Bila nak mula ulangkaji nota kuliah? Peperiksaan kan dah dekat.”, soalku dengan selamba sambil bermain-main dengan telefon bimbit Samsung S7 di tangan.

“Alaah, nanti aku ulangkaji lah. Banyak lagi masa kan? Yang kau nak gelabah sangat kenapa?”, Kamal membalas sambil matanya terus menghadap skrin komputer riba berjenama Dell di hadapannya.

“Tapi aku pelik juga bila tengok kau ni. Belajar pun tak pernah, tapi masa peperiksaan skor. Apa rahsia kau, boleh kongsikan? Mana tahu aku boleh praktikkan juga”, soalku bersahaja  pada Kamal. Kali ini sedikit sinis dan penuh dengan niat untuk menyindir.

“Adalah”. Sepatah sahaja jawapan yang terpacul dari mulutnya. Dia tak berminat untuk melayan kerenah rakan sebiliknya yang seringkali sengaja mewujudkan konflik dan ketegangan dengan dirinya. Teguran. Makian. Semua itu seperti sudah sebati dalam kamus hidupku apabila berdepan dengan makhluk ini. Aku pun tak tahu kenapa diri ini begitu lantang menegur dan mengherdik Kamal. Cemburu? Dengki? Atau memang tak salah apa yang aku buat?

“Arghh, malaslah nak fikir”. Aku kembali meletakkan telefon bimbitku kembali di atas meja belajar sambil mencapai tuala hijau berjenama Handy yang tersangkut di penjuru katil. Aku mengambil segala perkakas mandi yang ada dan terus menuju ke bilik air meninggalkan Kamal yang masih di posisi asalnya.

“Ya Allah, sekiranya hamba-Mu ini salah; Engkau maafkan aku dan tegurlah aku. Sekiranya apa yang kusangka selama ini betul; Engkau bantulah aku untuk mengubah dirinya”, doaku secara spontan acap kali mengingatkan kawan bilikku, Kamal. Harapanku agar dia dapat berubah sebelum terlambat. Pintu bilik air ditarik ke tepi dan ditutup semula rapat-rapat. Tombol shower dibuka dengan cermat dan perlahan-lahan. Lantas aku terus membiarkan diri dibasahkan serta dimanjakan dengan aliran air sejuk sambil cuba menghilangkan segala kekusutan yang meruntun jiwa ini.


***
Minggu demi minggu berlalu pantas tanpa disedari. Waktu makin suntuk untuk semua mahasiswa perubatan universiti Al-Azhar melakukan persiapan yang secukupnya. Lima hari. Ya, hanya berbaki lima hari sahaja lagi sebelum kami terpaksa memulakan pertempuran sebenar di medan peperiksaan. Tekanan? Tak usah ceritalah. Semakin dekatnya waktu peperiksaan, semakin tertekan dibuatnya. Maklumlah ini tahun kelima di Al-Azhar. Dan ini adalah antara tahun yang paling crucial dan sukar yang pernah dilalui. Subjeknya sedikit cuma bahan rujukan yang perlu ditelaah terlampau banyak. Pernah juga rasa nak berhenti belajar dan pulang terus ke tanah air. Namun niat ini cepat dimatikan lantaran mendengar nasihat bertubi-tubi daripada kedua-dua orang tuaku.

Mereka paling banyak memberikan inspirasi serta kata-kata semangat untuk terus belajar. Masih segar di ingatan tinta emas yang pernah diluahkan oleh ayah sebelum aku melangkahkan kaki di bumi Anbiya’.

“Setiap kejayaan bermula dengan segunung pengorbanan. Tak boleh cepat mengalah. Hidup ni takkan manis kalau tak ada cabaran.

Kau kena bersungguh, nak. Kau kena jadi orang yang berjaya. Supaya balik nanti boleh berbakti kepada agama, masyarakat, dan negara”

Semangatku membugar. Targetku kembali terarah. Terima kasih mak dan ayah! Kau sumber inspirasiku!

Sungguhpun begitu, situasi Kamal adalah sebaliknya. Statik dan tiada perubahan. Tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda positif untuk mula menelaah buku kuliah. Dia masih leka serta terus tenggelam dengan dunia permainannya. Tak tahulah sama ada main game, sibuk ber’facebook’ atau sebaliknya. Yang pasti, aku tak pernah lihat walau sehari dia duduk berteleku di hadapan buku. Persoalan-persoalan lama kembali bermain di fikiran. Aku semakin sangsi dan risau dengan gaya hidup yang dipaparkan Kamal.

“Aku kena buat sesuatu”, getus hatiku menyemarakkan lagi semangat untuk terus membongkar rahsia teman sebilikku ini.


***
Malam makin larut. Kini berbaki dua hari sahaja sebelum bermulanya peperiksaan. Kualih perhatian seketika ke arah kanan. Jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Perutku berbunyi kuat dan badan semakin layu. Rupanya sudah tiga jam aku tidak menjamah apa-apa makanan mahupun minuman. “Patutlah tak bermaya”, ujarku sambil merebahkan tulang belakangku sebentar pada  tiang kerusi. Aku menghela nafas panjang sambil menggeliat untuk hilangkan stres.

Di sebelahku kelihatan komputer riba Kamal terpampang luasdan dibiarkan sahaja terbuka. Dia dilihat tergesa-gesa ketika keluar meninggalkan rumah sebentar tadi. Aku yang masih tercegat di hadapan meja membiarkan sahaja Kamal berlalu tanpa sempat bertanya apa-apa.

“Kalau ya pun nak keluar, tutuplah laptop tu dulu. Aduhai!”, aku mendengus. Pantang melihat orang yang tak ada common sense. Lantas aku bangkit seketika daripada kerusi belajarku dan bergerak ke meja Kamal untuk menutup komputer ribanya.

Entah mengapa, tiba-tiba mataku tertancap pada skrin komputer Kamal yang masih terbuka. Terpancar di situ perbualan ringkas antara Kamal dan beberapa orang lagi. Kutekan tetikus komputer berhampirannya dan terus melihat secara dalam perbualan yang dibincangkan.
Ya Allah, ternyata sangkaanku selama ini benar belaka! Nafasku naik turun. Kecewa. Sedih. Hampa tatkala meneliti skrin laptop tersebut.

Sedang khusyuk membongkar perbualan-perbualan yang tersimpan, pintu bilik tiba-tiba terbuka luas.

“Hoi! Kau buat apa depan laptop aku?”, gertak Kamal sambil merenung aku dengan pandangan yang cukup tajam. Raut wajahnya kelihatan serius bercampur sedikit risau.

“Aku tak sangka, Mal. Rupanya ini kerja kau. Aku ingat selama ni kau baik. Kau jujur. Tapi tak”, ucapku penuh kesal.

“Itu masalah aku. Aku punya hal lah. Yang kau sibuk-sibuk selongkar laptop aku kenapa?”, kali ini nadanya sedikit tinggi daripada sebelumnya. Mukanya yang tadi serius seketika bertukar menjadi merah padam. Tangan kanannya digenggam serapat-rapatnya. Hampir nak tumbuk aku, namun ditahan. Aku sedar perubahan itu, tetapi kugagahkan juga untuk mengungkapkan  segala yang terbuku di hati. Ya, inilah masanya untuk aku luahkan.

“Mal, kalau nak berjaya kenalah ikut cara yang betul. Cara yang halal dan berkat. Bukan dengan meniru. Apa guna kau berjaya dapat ijazah; tapi usaha yang kau buat selama ini hanyalah meniru? Kau tak malu ke?”, sindir aku dengan nada yang sedikit tinggi sambil terpacak di hadapannya.

Mendengarkan kata-kataku itu, kesabaran Kamal sudah tak mampu dibendung lagi. Dushh! Satu tumbukan dari tangan kanannya tepat menerjah ke pipi kiriku, menyebabkan badanku terundur sedikit ke kanan sebelum terjatuh. Aku tak membalas. Tak ingin memanjangkan pergaduhan tersebut.

Riak wajah Kamal tetap tidak berpuas hati. Nafsunya untuk meneruskan perkelahian semakin memuncak. Belum sempat tumbukan kedua dilayangkan, dua orang ahli rumahku yang lain tiba-tiba muncul serta sempat menahan Kamal daripada meneruskan hasratnya itu. Salah seorang dari mereka menolak Kamal ke dinding hingga jatuh terduduk. Dia makin marah dan tertekan dengan tindakan kedua-dua orang rakan serumahku.

Kamal cuba untuk menyerang kembali mereka, namun berjaya dipatahkan. Melihatkan keadaan itu, dia terus mencapai kunci motorsikal di atas meja dan bergerak keluar dari bilik. Pintu rumah ditutup sekuat hati, seperti memberontak dengan apa yang berlaku. Dua orang rakan rumahku tadi cuba untuk menahan Kamal tetapi tak sempat. Aku masih terduduk kaku di dalam bilik, membiarkan sahaja segalanya berlalu.

“Moga kau berubah Mal. Moga kau berubah!”, monologku sendirian tatkala wajah Kamal kembali meliar di fikiranku.


***
Tiga pinggan nasi goreng kampung bersama telur mata kerbau yang dipesan sudah sedia terhidang. Aku dan ahli rumahku yang lain terus diam membisu sedari awal tiba di restoran. Makanan malam hanya ditenung tanpa dijamah sedikitpun. Nafsu makanku terus mati lantaran memikirkan peperiksaan bertulis yang baru sahaja dilalui pagi tadi.

Risau. Sedih. Hanya dua benda ini sahaja yang ada di benak fikiranku. Hampir setengah helaian buku jawapan kosong tanpa sebarang tulisan. Aku bingung. Persediaan telahpun dilakukan sebulan lebih awal sebelum peperiksaan. Buku serta nota juga telah dibelek serta dihafal berkali-kali supaya lumat dalam ingatan. Walau bagaimanapun aku tetap gagal menjawab soalan yang diberikan.

“Allah tak melihat pada hasilmu. Tapi Allah melihat pada apa yang kamu usahakan”. Tak semena-mena baris ungkapan ini hadir di tengah-tengah jiwa yang bergelora ini. Senyuman kembali terukir. Sedikit melegakan hati. Mengembalikan keyakinan diri. Ya, usahalah semampu yang kau boleh kerana Allah tak menilai pada hasil, tapi pada apa yang kita buat untuk ke arah itu!

Aku menoleh ke kiri dan kanan memerhatikan keadaan tiga orang rakanku yang lain. Oh ya! Baru teringat yang Kamal tidak bersama-sama. Memang sejurus selesai peperiksaan tadi, kami keluar bersiar-siar sebentar. Melepaskan tekanan dan menenangkan fikiran. Kamal pula tak tahu ke mana. Tidak kelihatan kelibatnya apabila keluar dari dewan peperiksaan tadi.

“Mungkin pulang lebih awal”, getus hatiku sambil bibirku mencebik memikirkan apa yang telah terjadi sebelum ini.
“Ustaz, ada apa-apa lagi yang nak pesan?”, soal seorang pelayan restoran mengejutkan diriku seketika dari lamunan. Kulihat jam di pergelangan tangan kiriku. 10.30 malam. Sebahagian pekerja restoran yang lain sudah mula mengemas sudut hadapan kedai, menandakan operasinya hampir tamat untuk hari ini. Maka, cepat-cepat kami habiskan sisa nasi yang berbaki di pinggan.

Aku segera menghulurkan sekeping duit kertas bernilai 50 junaih kepada seorang makcik di kaunter hadapan kedai sebelum meninggalkan kedai. “Kali ni aku belanja korang”, kataku selamba. Tiga orang rakanku yang lain tersenyum mendengarkan tawaranku. Nampak sedikit lega di wajah mereka selepas menikmati hidangan makan malam tadi.

Lantas kulajukan langkah kaki ini untuk pulang ke rumah bersama-sama yang lain. Mindaku masih tepu dan letih. Namun semangat sedikit terubat apabila dapat meluangkan masa dengan ahli rumahku yang lain. Moga Allah kekalkan nikmat ukhuwwah ini!

Aku pulang ke rumah seorang diri. Tiga yang lain bercadang untuk melepak sebentar di rumah rakan kuliah berdekatan rumahku. Justeru sesampainya di rumah, aku terus meletakkan beg sandang hitam berjenama Timberland bersebelahan almariku. Dengan kemeja putih dan slack hitam yang masih berbalut di tubuh, segera kurebahkan diri ini di atas katil. Cuba untuk menerawang ke alam fantasi secepat mungkin. Seketika aku menoleh ke sebelah kiri, melihat terus pada meja Kamal.

“Oh, ada mamat ni. Ingatkan dah tak nak balik rumah”, aku bermonolog sendirian. Sarkastik. Entah mengapa rasa marahku kepada Kamal muncul balik. Susah untuk hilang. Mungkin ini balasan sepatutnya atau aku yang masih lagi berdendam dengannya? Wallahua’lam, aku cuba untuk merasionalkan diri ini dan tidak bersangka buruk lagi.

Cuma ada sesuatu yang menyebabkan mataku ini terus tertancap pada ruangan meja Kamal. Kulihat seolah-olah ada benda pelik yang belum pernah kulihat sebelum ini. Tubuhku kembali energetik. Kuterjun dari katil dan terus meluru ke meja Kamal untuk melihat secara dekat benda tersebut.

“Ya Allah, dia ni dah gila ke apa?”, aku mengucap panjang dan terus menggelabah. Rasa panik menjelma apabila melihat tiga papan pil Panadol yang sudah terbuka daripada bungkusannya. Dua papan habis ditelan sementara satu papan masih berbaki tiga biji pil Panadol. Mataku meliar ke seluruh sudut meja, meneliti jika ada ubat atau benda-benda lain yang telah diambil olehnya. Tiada.

“Mungkin di bilik lain?”, getus hatiku sambil mencari Kamal di kamar rakannya yang lain. Namun hampa. Kujenguk ruangan bilik tamu dan dapur. Juga tiada.

Kebuntuan memenuhi kotak mindaku seketika. Aku duduk seorang diri di tengah-tengah ruangan bilik tamu, menenangkan diri serta melapangkan fikiran. Setiap sudut rumah telah digeledah, namun tak ditemukan jua Kamal. Memandang rak kasut di sebelah pintu rumah, semua sandal dan kasutnya masih ada cuma sedikit tidak bersusun.

Stor! Ya, aku belum menjenguk ruangan stor rumah lagi. Mungkin Kamal di situ. Bingkas kubangun semula dan mengarah ke bilik stor bersebelahan pintu dapur. Lampu di dalam bercahaya, menandakan ada orang di dalam. Maka kupulas tombol pintu stor sambil memanggil namanya berulang-kali, namun tidak berjaya dan tiada respons balas daripadanya.

“Ish, tak boleh jadi ni”, aku tendang sekuat hati pintu stor sehinggalah terbuka luas.

Tubuh menjadi kaku. Lidah kelu tanpa sebarang kata. Kelihatan sebatang tubuh sedang terbujur kaku di tengah-tengah ruangan stor. Wajahnya pucat dan buih-buih air liur seakan-akan tak henti mengalir dari mulut. Di genggaman tangan kanannya masih tersisa beberapa biji pil Panadol yang belum berusik

Adakah ini semua salah aku?
Kenapa Kamal sanggup membiarkan dirinya dalam bahaya?

Aku membisu. Diam seribu bahasa.

***

Jam dinding wad Hospital El-Zahraa’ menunjukkan pukul tiga pagi, berbaki setengah jam sebelum masuknya waktu Subuh bagi penduduk kota Kaherah. Hari ini sudah masuk hari kedua Kamal ditahan di hospital setelah kejadian kelmarin. Doktor mengesahkan bahawa Kamal menghidapi masalah keracunan (toxicity) ekoran mengambil pil Panadol melebihi had yang disyorkan. Keadaannya yang begitu lemah pada mulanya semakin menampakkan perubahan positif setelah menerima rawatan susulan daripada pihak hospital. Aku dan rakan rumahku yang lain amat berterima kasih dengan Ammu Ahmad, jiran sebelah rumahku kerana membantu kami menghantar Kamal ke hospital sewaktu hari kejadian. Kalau tidak, aku tak tahu apa akan jadi.

Aku duduk di sisi Kamal sambil mulut terkumat-kamit menuturkan zikir; memohon agar dia kembali sihat seperti sediakala. Air mata sesekali diseka lantaran melihat raut wajah Kamal yang masih tidak sedarkan diri. Pelbagai momen lama kembali menjengah benak fikiran ini. Ada suka dan ada duka. Tak dinafikan, kadangkala rasa marah dan benci lebih banyak menguasai diri ini berbanding empati. Aku rasa seolah-olah seperti gagal menjadi kawan yang berguna bagi Kamal.

Air mataku bergenang. Tak mampu ditahan lagi. Aku menangis sepuas-puasnya melepaskan segala yang terbuku di hati.

“Eh, aku buat apa di sini?”, kedengaran satu suara lemah keluar dari mulut Kamal. Aku menyeka kembali air mata dan menoleh ke arah rakanku itu.

“Alhamdulillah Kamal. Kau dah sedar!”, aku terus memeluk Kamal seeratnya sambil bibirku tidak berhenti-henti mengucap syukur atas kesembuhannya. Lega apabila melihat rakan bilikku sudah mulai sedarkan diri. Kamal yang masih longlai berasa sedikit pelik dengan kelakuan diriku.

Aku menceritakan kepada Kamal apa yang berlaku pada dirinya sehinggalah dia pengsan dan dibawa ke hospital. Kamal tidak memberikan apa-apa respons. Barangkali terkejut dengan keadaan dirinya itu.

“Ada benda yang aku nak beritahu dekat kau ni”, riak wajahnya berubah. Kulihat beberapa titisan air jernih mula membasahi pipinya. Dengan penuh kekesalan, Kamal mengakui kebenaran dakwaanku selama ini. Dia terpaksa meniru dalam peperiksaan untuk memastikan dirinya lulus. Hanya dengan cara ini sahaja melayakkan dirinya memohon skim pinjaman kewangan bagi membiayai urusan pengajiannya di universiti. Tambahan, ayah dan ibunya kini berdepan dengan krisis kewangan setelah syarikat kendalian mereka muflis tahun lepas.

“Aku tahu niat kau baik, Mal. Cuma satu benda yang perlu kau ingat. Niat tidak sekali-kali menghalalkan cara kita. Walaupun tujuan kita baik, tapi ia tetap salah jika kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan suruhan Allah. Tak ada guna dan mungkin sia-sia sahaja segala amalan kita selama ini.”

“Kalau kau buntu, carilah Allah. Sebab Dia sahaja yang boleh bantu kau dalam susah ataupun senang”, jelasku sambil mengungkapkan sepotong ayat Al-Quran :-

Barangsiapa bertaqwa kepada Allah S.W.T, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungghnya Allah S.W.T telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu

(At-Thalaq, ayat 2-3)

Kamal menunduk malu. Tak mampu mengungkapkan apa-apa. Dia begitu menginsafi segala khilaf yang pernah dilakukan sebelum ini. Aku bingkas bangun dari tempat duduk dan membiarkan Kamal bersendirian seketika di dalam wad.

Semoga kau berubah Kamal!

Semoga kau berubah!