Beliau dilahirkan pada tahun 1906 di sebuah kampung bernama
Musya, Asyout di Mesir. Beliau dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang
sederhana dan berpegang kuat kepada agama. Semenjak kecil lagi beliau telah
berjinak-jinak dengan al-Quran dan tidak hairan jika beliau telahpun menghafal
al-Quran semenjak berusia sembilan tahun. Dalam usia yang masih terlalu muda
ini beliau telah memperlihatkan beberapa keistimewaan yang bakal menempatkan
beliau di kedudukan yang tinggi.
Walaupun masih kecil untuk memahami isi kandungan al-Quran
tetapi beliau dapat merasakan makna ayat-ayat ini bermain dibenak fikirannya
seolah-olah kandungan ayat ini hidup di dalam khayalannya. Pengalaman ini
diceritakan sendiri oleh beliau. “saya mula membaca al-Quran ketika saya masih
kecil lagi. Walaupun fikiran saya ketika itu masih tidak cukup untuk memahami
maksud dan kehendak ayat-ayat ini Cuma saya dapat rasakan sesuatu. Setiap kali
saya membaca al-Quran ianya tergambar dalam khayalan saya. Gambaran ini memang
aneh tetapi saya dapat merasakan kepuasan dan keseronokannya.
Apabila dewasa beliau melanjutkan pelajarannya di Universiti
Darul Ulum dan menetap di Kahera. Dalam usia yang masih muda ini beliau
terpaksa berdikari memelihara adik-adiknya Muhammad, Aminah dan Hamidah apabila
ayah dan ibu beliau meninggal dunia.
Setelah menamatkan pengajian, beliau memulakan karier sebagai
penulis sastera dan puisi di beberapa syarikat akhbar dan majalah seperti
Ahram, Risalah, Usbuk, Syarq Jadid, Alam Arabi dan sebagainya.
Pada tahun 1948 sehingga tahun 1950 beliau telah dihantar
sebagai wakil Kementerian Pendidikan Mesir ke Amerika Syarikat bagi mengkaji sistem
pendidikan di sana, Walau bagaimanapun setelah meneliti sistem ini beliau
mendapati hanya sistem pendidikan Islam sahaja yang sesuai sebagai landasan
kepada sistem pendidikan di Mesir. Pandangan beliau ini menyebabkan beliau
dituduh sebagai kolot dan jumut oleh kalangan yang berada di dalam Kementerian
Pendidikan. Seterusnya pengalaman beliau di Amerika ini dibukukan di bawah
tajuk “Amerika Yang Kulihat”, menceritakan pengalaman beliau, mengenai
kepalsuan demokrasi dan diskriminasi warna kulit yang wujud di Amerika dengan
membandingkan dengan Islam. Apa yang menarik, pada ketika itu beliau masih
belum mengenali dakwah Ikhwan Muslimin.
Setelah menganali dakwah Ikhwahn Muslimin beliau telah
menerbitkan majalah “Fikr Jadid” yang menjadi medan untuk beliau mengkeritik system
kapitalis dan manipulasi golongan atasan ke atas rakyat. Melalui majalah ini
beliau menggabungkan antara fikrah dan harakah dalam usaha untuk menegakkan
panji Islam di dunia Islam.
Dalam tahun 1952, Sayyid Qutb telah dipilih sebagai anggota
exco di Maktab Irsyad dan beliau dilantik sebagai pengerusi Unit Penyebaran
Dakwah di Ibu Pejabat Ikhwan Muslimin. Pada tahun 1954, beliau dilantik sebagai
ketua editor bagi akhbar “Ikhwah Muslimin”. Malangnya, setelah sebulan di
pasaran akhbar ini telah diharamkan oleh Presiden Mesir, Jamal Abdul Nasir
kerana menentang perjanjian Mesir-British yang dimeteri oleh jamal Abdul Nasir
dengan kerajaan British. Dalam tahun yang sama pada bulan Januari beliau
bersama-sama dengan ikhwan yang lain telah dipenjarakan di Penjara Qal’aah,
Penjara Harbi, Penjara Abu Za’bal, Penjara Limah Ruroh. Walau bagaimanapun
beliau dibebaskan pada bulan Mac 1954 disebabkan oleh sakit tenat yang
dialaminya.
Pada bulan Julai 1955 beliau dipenjarakan semula, kali ini
dengan hukuman penjara serta kerja berat selama 15 tahun. Sekali lagi beliau
dibebaskan semula selepas sepuluh tahun menjalani hukuman kerana campur tangan
Presiden Iraq ketika itu, Abdul Salam Arif.
Kebebasan yang diperolehi ini membolehkan beliau menumpukan
tenaga kepada perkembangan dakwah dan dalam tempoh ini beliau telah
menghasilkan banyak penulisan. Buku yang pertaman yang dihasilkan dalam tempoh
ini ialah “Fi Zilal Al-Quran”.
Pada tahun 1965, beliau sekali lagi dipenjarakan. Kali ini
dengan tuduhan mengepalai konspirasi Ikhwahan Muslimin untuk menggulingkan
kerajaan. Beliau telah dihadapkan ke mahkamah boneka dengan peguam bela yang
dilantik sendiri oleh kerajaan. Dengan keputusan mahkamah yang telahpun
ditentukan beliau bersama-sama beberapa orang ikhwan yang lain telah dijatuhkan
hukuman gantung hingga mati.
Pada waktu subuh 29 Ogos 1956 hukuman gantung tersebut telah
dilaksanakan. Gugurlah seorang syahid pergi menghadap Tuhannya setelah
membuktikan kesucian dan keikhlasan perjuangannya. Dari seorang anak yang kecil
sehinggalah ke akhir hayatnya beliau tidak rela untuk tunduk akur kepada
kezaliman.
Beliau pernah berkata: “jari telunjuk ini yang menjadi saksi
setiap kali di dalam sembahyang bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad
adalah utusan Allah tidak mungkin sama sekali akan menulis coretan yang hina. Dan
mengampu-ampu. Jikalau sememangnya saya layak dipenjara, saya reda menerimanya.
Tetapi jikalau saya dipenjara dengan kezaliman, saya sama sekali tidak akan
tunduk memohon belas kasihan daripada orang yang zalim…”
Walaupun jasadnya telah disemadikan namun keimanan dan
keikhlasnnya tetap bersemi di dalam jiwa-jiwa generasi akan datang menjadi obor
semetara menanti fajar yang menyingsing.