Jumaat, 3 Oktober 2014

Qada dan Qadar Allah



بسم الله الرمان الرحيم

Sesungguhnya kita diciptakan oleh ِِAllah didunia ini sebagai hambanya dan sebagai khalifah diatas muka bumi ini. Dari setitis air yang hina kemudian Allah muliakan manusia itu dengan ilmu dan akal fikiran jika dibandingkan dengan makluk Allah yang lain. Allah berikan kepada kita akal supaya berfikir dan teliti setiap ciptaannya, supaya kita lebih mengenal dengan pencipta yang hakiki iaitu tuhan sekalian alam. 

Allah berfirman:

وكل شىء عنده بمقدار

Dan setiap sesuatu disisinya (Allah) dengan kehendaknya (Ar-ra'd: 8)

Ingatlah, sesungguhnya Allah itu maha kuasa dan maha mengetahui setiap perkara yang berlaku didunia ini, dengan kehendak dan ketentuannya. Manusia itu hanyalah seorang hamba yang hanya mampu berusaha dan bertawakkal kepadanya. Namun keberhasilannya hanya Allah yang dapat menentukannya. 

Sebagai contoh: seseorang yang berusaha bersungguh dan rajin dalam pelajarannya maka dia akan berjaya dalam peperiksaannya, namun ada juga orang yang berusaha bersungguh sungguh tetapi dia tidak berjaya. Setiap ketentuan yang Allah telah tetapkan keatas hamba-hambanya didunia ini mempunyai hikmah yang tersirat namun manusia tidak mengetahuinya. 

Timbul persoalan: jika Allah dah tentukan segala-galanya, jadi manusia tidak perlu berusaha atau melakukan apa-apa tindakan kerana manusia ini hanyalah boneka yang mengikut segala ketentuan Allah?

Jawapannya: sesungguhnya Allah telah memberikan kepada manusia itu kuasa untuk membuat pilihan. Pilihan itu mampu mengubah suatu taqdir  kepada suatu taqdir yang lain. Sebagai contoh: seorang pelajar dia mempunyai pilihan sama ada pergi kesekolah atau ponteng sekolah, atau seorang muslim diberi pilihan untuk solat dirumah atau solat berjemaah dimasjid. Sesungguhnya ketentuan Allah itu bergantung kepada pilihan yang kita buat mengikut kemahuan kita sendiri.

Allahu berfirman: 

وهدينه النجدين

Kami tunjukkan dua jalan iaitu jalan kebaikan dan jalan kejahatan (Al- Balad: 10)

Allah berikan kepada kita dua pilihan sama ada jalan ke Syurga atau jalan ke Neraka. Kita yang menentukan jalan mana yang kita pilih untuk melaluinya, namun penghujungnya Allah telah tetapkan sama ada Syurga atau Neraka. 

Allah berfirman: 

وعسى أن تكرهوا شيئا وهو خير لكم وعسى أن تحبوا شيئا وهو شر لكم والله يعلم وأنتم لا تعلمون

Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan ingatlah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Al-baqarah: 216)

Kadang-kadang Allah taqdirkan keatas kita sesuatu yang kita tidak suka, ada hikmah kenapa Allah jadikannya begitu, kerana Allah maha mengetahui disebalik perkara yang berlaku. Sebagai contoh: seorang telah berdoa supaya Allah jadikanlah dia seorang yang kaya, tetapi Allah jadikan dia seorang yang hidup sederhana sahaja, oleh sebab dia hidup sederhana dia menjadi seorang yang bersyukur dengan nikmat yang dia dapat, tetapi jika dia seorang kaya mungkin dia akan menjadi bongkak dan sombong dengan kekayaannya sehingga lupa kepada allah yang memberi rezeki kepada hamba-habanya. Sesungguhnya Allah itu mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambanya dalam setiap perkara didunia ini.  

Analogi yang mudah. Dalam sebuah pohon yang besar dan berbuah, perkara yang menarik pandangan kita jika melihat kepada pokok itu adalah kepada buahnya iaitu hasil yang dikeluarkan oleh pokok itu. Buah yang cantik, besar, berhasiat dan sedap rasanya tidak akan berhasil melainkan telah mencukupi segala khasiat dan mineral yang diperlukan oleh sesebuah pokok. Begitu juga dalam kehidupan kita, kita tidak akan menjadi seorang yang sempurna melainkan cukupnya segala pembinaan diri seseorang individu dari segi fizikalnya sehingga kerohaniannya. Jika tidak cukup segala mineral yang diperlukan oleh pokok, maka pokok itu sama sekali tidak akan menghasilkan buah atau menghasilkan buah yang tidak sempurna sifatnya. 

Semoga kita sama-sama berusaha untuk menjadi seorang muslim yang sejati dan diredhai Allah agar kite semua ditempatkan di Syurga nanti. Hanya Allah yang dapat menentukan tempat kembali dan pembalasan keatas hamba-hambanya. 

Wallahua'lam, wassalamualaikum. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan