CERPEN PENDEK DIAMBIL DARI PENGALAMAN SEORANG DAEI
Di sebuah Kampung, di pinggir bandar, bersebelahan sebuah
pantai yang biru, burung-burung berterbangan dan berkicauan, angin sepoi-sepoi
mengalun pepohonan hijau, awan comel berambal-rambal di angkasa, cahaya menerjah
dan menembusi awan putih menerangi bukit bukau disekeliling pantai. Kelihatan
kanak-kanak berlari berkejaran dan juga nelayan-nelayan mula mengangkat sauh
untuk berlayar.
Aku bersyukur melihat suasana dan keindahan alam
ciptaan ilahi ini yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Aku menyedari
bahawa disebalik keindahan ini pasti ada pencipta yang lebih indah daripada ini.
Aku menadah tangan dan memohon doa kepada ilahi,
semoga aku tergolong di dalam kalangan hambanya yang bersyukur di atas segala
nikmat yang diberikan. Mataku mula berkaca mengalirkan air mata, terkenangkan
nasib keluargaku yang jauh di negeri seberang. asyik dan tenggelam dalam lautan
kemewahan dunia sehingga lupa daratan yang sebenar. Aku mendoakan mereka agar
suatu hari nanti dikurniakan hidayah dan petunjuk dari ilahi.
“Salman!... jom la mandi pantai” Syukry memanggil
Aku sambil menerjah badannya ke laut.
Aku tersadar dari lamunanku dan mengesat air mata
dengan lenganku, lantas aku bangun dan berlari ke laut sambil melihat ke arah
sebuah rumah banglo dihujung pantai.
“Pedih mataku syukry, masin betul air laut ni”
teriak aku sambil memejamkan mata dan lantas keluar ke pantai kerana mataku dimasuki
air laut.
“Jom la syukry kita pulang, mentari sudah tegak
diatas kepala” aku mengajak syukry sambil mengelap badanku dengan tuala.
Syukry datang menghampiri ku, “puas aku mandi hari
ni.” Kata syukry sambil duduk dan menghembuskan nafas. Mata aku masih tidak
lekang dari melihat ke arah sebuah rumah banglo yang tersengam indah di hujung pantai
itu.
“Syukry cuba kau lihat dihujung pantai tu, ada
sebuah banglo besar. Kau tahu siapa yang tinggal disana?” tanya aku sambil
menunjukkan jari telunjuk kearah banglo itu.
“Oh, rumah tu baru sahaja dibina, ada sebuah
keluarga kaya yang datang dari negeri seberang, mereka baru sahaja berpindah ke
sini tiga bulan yang lalu, aku dengar-dengar mereka mempunyai dua orang anak
lelaki, umurnya baya kita” jawab Syukry sambil meneguk air Oren bekalan yang
mereka bawa. Aku mengiakan sahaja dan mataku tetap melihat keadaan rumah banglo
tersebut sambil aku menyalin pakaianku yang baru.
“Salman! Apa ni?” tanya Syukry sambil melihat dan
menyentuh parut besar dibelakang badan Salman.
“Oh, tidak mengapa, hanya parut biasa ” jawab Salman
sambil menjeling ke arah Syukry. Aku lantas menutupinya dengan pakaian baru. Pandanganku
berhenti disatu sudut banglo itu sambil tergambar difikiranku sesuatu yang
pernah terjadi di masa yang lalu.
“Jom la pulang ke rumah, malam ni kita akan ada
usrah di masjid” tegur Syukry sambil memegang bahuku. Aku tersedar dari
lamunan, lantas kami mengambil barang-barang dan terus memasuki kereta dan
bergerak pulang.
***
“Mus’ab bin Umair merupakan sahabat rasulullah yang
pernah dihantar oleh Rasulullah ke Madinah untuk menyampaikan dakwah Islam di
sana, walaupun ketika itu penduduk Madinah masih belum mengenali Islam. Namun
begitu Mus’ab tidak pernah berhenti dan berputus asa menyampaikan dakwahnya,
tiada satu rumah di bandar Madinah tidak diketuk olehnya, setelah berlalu
setahun semakin berkembang orang Islam hasil dari usahanya. Penolakan Mus’ab
untuk keluar berdakwah bukanlah semata-mata atas arahan nabi, akan tetapi keiman
yang hakiki menolak seorang daie itu untuk terus berdakwah dan thabat diatas
jalan ini” nasihat Ustaz Amir kepada kami sambil memandang mata kami satu
persatu. Telinga aku menangkap setiap perkataan yang keluar dari mulut ustaz
Amir dan tanganku terus menerus mencatat segala isi-isinya.
“Ustaz mahukan setiap dari kamu semua mesti menyampaikan
dakwah kepada kawan-kawan yang lain, ajak mereka juga untuk turut hadir ke perjumpaan mingguan kita ini,
semoga usaha-usaha kamu semua diberi ganjaran oleh Allah diakhirat kelak” kata
ustaz Amir kepada kami yang sedang asyik tenggelam dalam kebasahan nasihat dan
kata-katanya.
“Insyallah ustaz, kami akan cuba” jawab syukry
sambil menutup buku nota ditangannya. Syukry dan kawan-kawan yang lain bangun
dan beredar pulang ke rumah.
“Ustaz, tapi aku masih malu dengan sikap aku, kerana
aku bukanlah seorang yang sempurna?” aku bertanya ustaz sambil merapatkan
kedudukanku mengahampirinya.
“Wahai Salman, sebagai seorang daie kita perlu yakin
dengan setiap kebenaran, sesungguhnya Allah ciptakan manusia itu ada kelebihan
dan kelemahannya, jangan sekali-kali jadikan kelemahan itu sebagai penghalang
dakwahmu, Allah tidak melihat luaran seseorang hambanya, tetapi Allah melihat kebaikan
yang ada dihatimu, maka ikhlaskan hatimu Salman” nasihat Ustaz Amir kepadaku sambil mengajakku perhatikan bulan
dan bintang dilangit.
“Terikasih ustaz atas segala nasihat dan bimbingan,
aku mintak diri untuk pulang ke rumah” kata aku sambil menghulurkan tangan dan mencium
tangannya. Terus aku melangkah keluar masjid berjalan kaki pulang ke rumah.
***
Dalam perjalan pulang ke rumah, aku ditemani cahaya bulan
yang indah. Mulutku tidak berhenti berkumat kamit menyebut nama-nama Allah,
hatiku selalu rasa bersyukur diatas nikmat perkenalanku dengan Ustaz Amir yang telah
banyak membimbingku dan merubah sikapku, aku mula sedar tujuan penciptaanku
diatas muka bumi ini adalah untuk mengabdikan diri kepada tuhan dan menjadi
pentadbir dialam ini.
“Tolong... tolong... aduh sakitnya” kedengaran
sebuah jeritan meminta tolong, lantas aku berpaling mendapatkan suara itu, kelihatan
seorang remaja terbaring dipersimpangan jalan raya melambai-lambai meminta
tolong.
lantas aku terus berlari mendekati remaja itu, “innalillahiwainnailaihirajiun...”
kata aku sambil mengangkat remaja itu dan meletakkan tangannya diatas bahuku. Aku
memapahnya pulang kerumahku.
“Terima kasih, selamatkan aku” kata remaja itu
sambil mengosok bahagian kakinya yang terluka.
“Aku abang Salman, siapa nama adik?” aku mula
perkenalkan diriku sambil menuang teh panas kedalam sebuah cawan.
“Namaku Azry, aku tinggal di rumah banglo terletak di
hujung pantai” kata Azry sambil menghirup sedikit teh panas.
“Adik kemalangan ke?” tanya aku perlahan.
Azry menggengam jari jemarinya, “aku diserang oleh
Samseng kampung ini, motor dan beg aku dirompak, aku bertubi-tubi ditumbuk oleh
mereka” kata Azry sambil menghempas tangannya di meja. Aku mengangguk sahaja
sambil mengusap belakangnya.
“Adik tidurla dirumah abang malam ni, esok abang
hantar adik pulang kerumah” kata aku sambil membetulkan keadaan bantal dan
menepuk tilam.
***
“Salman! Azry!... jom sarapan pagi, aku masak mi
goreng telur mata” panggil Syukry diruang dapur sambil meletakkan pinggan
mangkuk diatas meja. Aku dan Azry melangkah keluar bilik menuju ke ruang makan.
“Wah sedapnya, pandai abang masak” kata Azry sambil
menjilat bibirnya yang kering.
“Mana Faris dan
Zaid?” tanya aku kepada Syukry sambil melihat kearah jam dinding.
“Mereka sudah keluar ke kuliah awal pagi lagi,
dengarnya ada urusan yang perlu diselesaikan” jawab Syukri sambil menyuap mi
goreng kedalam mulut. Selesai makan, Aku bersiap untuk menghantar Azry pulang.
“Brom...brom...” aku mula hidupkap enjin motor EX5
110CC yang sudah hampir 5 tahun usianya.
“Azry!... mari abang hantar pulang ke rumah” aku
memanggil Azry sambil membetulkan tali topi keledarku. Azry berlari dan duduk
dibelakangku. Aku terus memecut motor menuju ke arah banglo dihujung pantai itu.
“Banyak tanda tanya yang masih belum terjawab” bisik
hatiku sambil melihat atap banglo dari kejauhan pantai. Aku berhenti motor
dihadapan pintu pagar utama, mataku menyeluruhi disetiap sudut halaman banglo
itu.
“Abang Salman, jika tidak keberatan, mari bertandan
ke rumah saya” ajakan Azry sambil melebarkan pipinya. Aku dengan senang hati
menerima ajakan itu.
“Mama!... papa!...” Azry memanggil ibu dan ayahnya
sambil membuka tombol pintu rumah. Mataku masih tidak lekang melihat sekeliling
banglo itu, aku memerhatikan satu persatu barang dan perhisan rumah itu.
“Jemputlah masuk, buat macam rumah sendiri, makcik kedapur
sebentar siapkan air” kata ibu Azry sambil menunjukkan ibu jarinya kearah
sofa-sofa diruang tamu.
Melihat keadaan di dalam rumah itu, Pandanganku
terhenti pada sebuah bingkai gambar keluarga didinding ruang tamu itu, mulutku
tertutup rapat, mataku memandang tepat pada seseorang didalam gambar itu.
“Apakah semua ini?, siapakah mereka? Kenapa mereka
disini?” hatiku pernuh tanda tanya.
Hatiku mula resah, “Azry, abang terlupa ada temu
janji lain hari ni, maafkan abang perlu segera pulang” mulutku sepontan
mengeluarkan kata-kata itu sambil melihat jam tanganku.
“Nanti dulu abang, mama sudah buatkan air” kata Azry
sambil membulatkan matanya dan memegang tanganku.
“Aku tidak mampu berdalih lagi, mungkin inilah
masanya untukku mengetahui segalanya” bisik hatiku sambil melabuhkan punggungku
diatas sofa yang empuk.
“Azry, Mana abang kau?, sudah seminggu tidak pulang
ke rumah, ehtah buat apa kat luar sana” tanya ibu Azry kepada anaknya sambil
memberikan segelas kopi yang masih panas kepadaku.
“Entahla mama, semalam kawan-kawan abang telah
rompak motor adik, nasib baik ada abang Salman datang selamatkan adik” jawab
Azry sambil mengangkat seluarnya sehingga jelas kelihatan luka semalam.
“Sampai hati abang kau buat adik macam ini, tidak
serik-serik lagi, sampai bila dia akan berterusan begini” keluh ibu Azry sambil
melihat luka di kaki anaknya. Aku diam sahaja melihat keadaan yang berlaku.
“Terima kasih Salman kerana selamatkan anak makcik,
abang Azry ni memang bermasalah orangnya, kami berpindah ke kampung ini dengan
harapan dia dapat berubah, dahulu ketika kami di negeri seberang, ramai orang
tidak suka akan keluarga kami disebabkan perbuatan abang Azry yang menggangu
penduduk kampung” sembang makcik kepadaku sambil membetulkan kedudukannya.
“Makcik harapkan kamu dapat bantu juga abang Azry
kembali kepangkal jalan, kerana jauh disudut hatinya masih ada keinginan untuk
berubah” kata makcik sambil melihat mataku dengan penuh harapan.
“Maafkan saya makcik, boleh saya tahu siapa nama
abang Azry?” tanya aku kepada makcik dengan penuh penantian jawapan.
“Oh, Edry, kembar kepada Azry, mungkin silap makcik
tidak menghantarnya kesekolah agama seperti Azry, jika tidak mungkin keadaan
akan jadi begini” kata makcik sambil menundukkan kepalanya. Matanya mula berkaca
mengeluarkan air mata kekecewaan.
“Sudah kusangka tatkata aku melihat Azry buat kali pertama
seolah-olah aku pernah kenal dia suatu masa yang lalu” hatiku berbisik sambil mataku
menjeling ke arah Azry. Ibu Azry lantas mengesat air mata dengan tisu diatas
meja.
“Makcik perlu tabah, Allah jadikan anak-anak itu
sebagai ujian didunia, Allah tidak menguji hambanya dengan ujian yang berat,
yakinlah manusia itu suka perkara kebaikan, saya mendoakan agar anak makcik Edry
suatu hari nanti akan kembali kepangkal jalan” nasihatku kepada ibu Azry sambil
merapatkan kotak tisu kepadanya. Ibu Azry mengutip cawan yang kosong dan
membawanya ke dapur.
“aku seronok bersama abang, alangkah indahnya jika
saya ada abang seperti abang Salman” kata Azry kepadaku sambil tersenyum.
“Azry malam ni abang mahu ajak Azry makan di
restoran Pak Ali, kita jumpa di masjid Ar-Rahman sebelah pantai Isyak nanti
boleh? Selepas itu kita pergi makan sekali” ajak aku kepada Azry sambil
melangkah ke pintu rumah banglo.
“Boleh insyallah, baik-baik pulang kerumah,
sampaikan salam kepada abang Syukry” jawab Azry sambil melambai-lambaikan
tangan.
***
“Allahu akbarullahu akbar...” azan Isyak
berkumandang di Masjid Ar-Rahman. Aku datang ke masjid, mengambil wuduk dan
melangkah keruang solat. Kelihatan seorang pakcik membaca Al-Quran di sudut
kanan masjid, aku menyandarkan badan di sebuah tiang ditengah-tengah masjid
sambil tanganku memetik 33 biji buah tasbih.
“Ya Allah ampunilah dosa hambamu ini, jika bukan
kerana rahmat Mu aku tidak akan berada di dalam Masjid ini, benarlah bahawa
pemilik hati ini ditanganMu, maka tetapkanlah hatiku diatas ketaatan kepadaMu
dan agamaMu” hatiku menginsafi sambil terbayang kisah jahilku yang pernahku
alami suatu masa lalu.
Kelihatan ramai orang masuk kemasjid dan memenuhi
saf-saf dihadapan. Aku pandang kekanan dan kekiri mencari susuk tubuh yang
masih ditunggu namun belum tiba.
“Dimanakah Azry? Adakah dia terlupa temu janji
kita?” hatiku bertanya pada diriku sambil aku memenuhkan saf dibelakang imam.
Setelah selesai solat Isyak, lantasku berdiri dan memerhati setiap jemaah,
namun masih tidak kelihatan lagi insan yang ditunggu-tunggu, aku terdiam seribu
bahasa sambil merehatkan badan dibelakang masjid.
Aku teringat kisah kali pertama kali aku berjumpa
dengan Ustaz Amir di masjid ini setahun yang lalu, aku tercungap-cungap
kepenatan mencari tempat bersembunyi kerana lari daripada ditangkap oleh polis,
akhirnya aku bersembunyi dimasjid ini, aku ketiduran kerana kepenatan.
“Adik...bangun dik...” aku dikejutkan oleh Ustaz
Amir dengan nada perlahan, lantas aku terjaga, nafasku bagaikan aku melangkah
seribu, mataku menyeluruhi ruang masjid dengan pantas jika ada susuk tubuh yang
aku takuti.
“Adik jangan bimbang, adik bangun pergi ambil wuduk,
sebentar lagi kita akan solat Subuh berjemaah” ajak Ustaz Amir sambil memeluk
erat di dadanya.
“Aku tidak pernah solat” jawab aku perlahan sambil
melihat orang ramai sudah memenuhi ruang solat.
“Adik jika seseorang hamba itu menjaga perintah Allah, maka Allah akan menjaganya,
tiadalah penjagaan yang lebih baik dari penjagaanNya, mari ustaz ajarkan adik
solat” nasihat Ustaz Amir kepadaku sambil mendirikan aku.
Aku tersentap medengar kata-kata nasihat itu tadi,
dari situlah aku mula berubah dan mengenal siapa pencipta alam ini. Aku dapat
bezakan diantara jalan yang lurus disinari cahaya petunjuk dan jalan yang bengkang
bengkok dihiasi nasfu yang buas. Hidupku berputar 180 darjah.
“Adik... bangun dik” kejut seorang pakcik dengan
memukul perlahan tapak kakiku. Aku terjaga dari tidurku, mata aku menerpa
keluar pintu masjid yang masih bercahaya. “pakcik dah nak tutup masjid ini,
adik pulanglah kerumah” kata pakcik itu sambil menutup suis kipas. Aku lantas
bangun dan keluar dari masjid. Aku mehidupkan enjin motor dan berlalu sahaja.
***
“Salman, hari ni aku mahu pulang ke rumah ibuku di
bandar, adik perempuanku akan menyambung pelajarannya ke luar negara, jadi aku
perlu pulang bagi menghantarnya di lapangan terbang” kata Syukry sambil membawa
satu beg besar ditangan kanannya.
“Selamat jalan, jangan lupa bawa ole-ole dari bandar
bila pulang kesini semula” jawab aku sambil mengangkat dan memasukkan beg besar
itu kedalam bonet kereta. Aku berdiri melihat kereta Syukry berlalu pergi.
“Aku perlu berjumpa dengan Azry hari ni” teringat
aku akan Azry sambil berjalan masuk kerumah.
Aku menuju ke dapur rumahku, memerhati bahan-bahan
untuk dimasak. “Bawang, cili, timun, salad... ini boleh buat nasi ayam” bisik
hatiku sambil mengeluarkan ayam dari peti sejuk. Emakku sempat mengajarkan cara
memasak nasi ayam, walaupun aku tidak
tahu resepi masakan lain, tapi cukup la aku jadikan ia menu istimewa dalam
hidupku. Aku mula memotong bawang dan
menghidupkan api didapur.
Aku menaiki motor EX5ku menuju ke rumah Azry, bersamaku
bekalan nasi ayam untuk makanan tengahari. Motorku memecut laju melalui jalan
persisiran pantai. Mataku terlihat dari jauh dua susuk tubuh duduk berduan
diatas satu bongkah batu yang besar mengadap pantai, lama aku perhatikan dari
belakang. Lantas aku menekan brek motor.
“Azry!...oh Azry!” aku memanggil Azry sambil
menongkat motorku ditepi jalan. Azry memandangku, lantas dia berjalan
menghampiriku berseorangan.
“Aik seorang je Azry, tidak ajak kawan kau seorang
lagi tu datang sini” tanya aku sambil melihat kawan Azry berlalu pergi dari
tempat itu.
“Oh tu kawan perempuan satu universiti, dia tinggal
tidak jauh dari sini, segan la aku bawa dia jumpa abang sekali” jawab Azry
sambil pipinya kemarahan.
“Abang tunggu Azry semalam di Masjid” tanyaku sambil
melangkah kaki menuju ke sebuah bangku yang berada di bawah sebatang pohon yang
rendang.
“Maafkan aku terlupa, malam semalam aku keluar ke
bandar bersama kawan perempuanku itu tadi” jawab Azry sambil menurunkan
pandangannya kebawah. Aku memberikan bekalan nasi ayam kepada Azry.
“Abang aku ingin menanyakan sesuatu boleh?” tanya Azry
sambil menyuapkan ayam kedalam mulut.
“Abang ada minat pada seorang perempuan? Biasalah
sebagai seorang lelaki mesti berkenan dengan seseorang” tanya Azry sambil mengunyah
makanan dimulut. Aku mengunci mulut dan melebarkan pipiku sambil berjalan
perlahan ke arah laut.
“Azry, di dalam kehidupan ini, Allah jadikan setiap urusan
rezki, ajal, jodoh dan kebahagian sudah ditetapkan olehNya, sebagai hamba perlu
yakin dengan janjiNya bahawa lelaki yang baik adalah bagi perempuan yang baik
dan lelaki yang buruk bagi perempuan yang buruk, yang paling penting dalam kehidupan
ini adalah menjaga hubungan kita dengan Allah” jawab Aku sambil melihat tepat
ke bijik mata Azry.
“Tapi kalau sudah berminat, susah untuk ditinggalkan”
jawab Azry sambil melempar sebiji batu ke laut.
“Allah ciptakan lelaki suka akan perempuan dan
perempuan suka akan lelaki, ianya perlu dikawal daripada terikut hasutan nafsu
dan syaitan” Kata aku sambil memegang erat bahu Azry. Aku menghidupkan enjin
motor. Lantas kami bergerak meninggalkan pantai itu.
“Azry, esok malam abang nak ajak Azry bermain bola
futsal boleh?” tanya aku sambil melihat Azry membuka pintu pagar rumahnya.
“Boleh... kali ini aku tidak akan hampakan ajakan
abang” jawab Azry keriangan.
“Esok malam abang datang ambil Azry disini” kata aku
sambil bergerak pergi meninggalkan rumah banglo itu.
***
Dibawah sinaran bulan purnama, “Pak cik!... teh
tarik satu, kopi O satu, kaw punya” aku memesan minuman sambil melihat orang
ramai memasuki warung Pak Ali.
“Ustaz, dua tiga hari ini, hatiku terasa kering
bagaikan daun reput ditelan zaman” Aku mengeluh kepada Ustaz Amir sambil
membetulkan kedudukanku. Ustaz tersenyum memerhati aku.
“Salman, hati seorang daie itu perlu sentiasa
dibasahi dengan amal ibadah dan khuyuk kepada Allah, hati ibarat sebuah span,
apa yang disedut olehnya, maka itu yang akan dikeluarkan” nasihat Ustaz Amir
sambil memegang bahuku.
“Nah teh tarik satu dan kopi O” kata Pak Ali sambil
meletakkan cawan diatas meja kami. Kami mengambilnya dan terus bersembang
tentang agama dan tarbiah.
“Ahhh!... hari ni ada lagi kes motor hilang, kampung
kita ini sudah tidak aman seperti dulu” mengeluh seorang pakcik berbadan
sasa dimeja sebelah sambil menarik
kerusi untuk didudukinya.
“Itu semua kerja budak-budak samseng yang datang
dari negeri seberang, semuanya berlaku sejak mereka pindah ke kampung kita”
kata seorang pakcik tampak kulitnya yang kedut dimakan usia sambil menghentak
tangannya dimeja. Aku memasang telinga mendengar perbualan mereka, fikiranku
tergambar raut wajah seseorang yang pernah kulihat di dalam sebuang bingkai
gambar di rumah banglo milik keluarga Azry.
“Kita perlu pertingkatkan keselamatan kampung kita,
demi ketenteraman anak cucu kita akan datang” kata seorang pakcik sambil
menghirup secawan teh.
“Aku cadang kita bina sebuah kumpulan untuk berkawal
setiap malam, kita kumpul remaja-remaja yang sasa dan kuat dikampung kita, jika
kita berjaya tangkap semua samseng-samseng ini, kampung kita akan kembali
tenteram seperti dulu” balas seorang remaja yang duduk berhadapan dengan
pakcik-pakcik itu.
Aku bangun dari kerusi, “ustaz, aku mintak diri
untuk pulang kerumah, sudah lewat malam” kata aku kepada ustaz Amir sambil
mengeluarkan duit untuk membayar minuman itu tadi.
“Salman, hidup seorang daie akan penuh dengan ujian
dan cabaran, tabahkan hatimu dan terus bersabar, mohonlah pertolongan padaNya
yang Esa” pesan terakhir ustaz Amir kepadaku sebelum aku melangkah pulang.
***
“Pon! Pon!...” aku menekan hon motor memanggil Azry
keluar rumah.
“Aku datang!... ” jerit Azry di dalam rumah sambil
mengambil kasut bolanya yang berhabuk. Azry menaiki motor, mataku melihat
kearah jam ditangan, aku terus memecut motor dengan laju menuju ke gelanggang
futsal.
“Itu kawan-kawan abang ke?” kata Azry sambil melihat
pemuda-pemuda di gelanggang futsal itu. Kami bermain dengan seronok dan
bersahabat pada malam itu.
“Seronok
dapat bermain dan berkenalan dengan kawan-kawan abang, aku berharap semoga
hubungan ini akan terus berkekalan” kata Azry
sambil mengelap peluhnya yang mencurah-curah.
Kami bergerak pulang, “Azry boleh abang tahu, apa
cita-cita Azry?” tanya aku sambil menunggang motor.
Sedang asyik bersembang tentang masa hadapan, di
sebuah persimpangan jalan raya, tayar motorku pancit. Jam ditangan menunjukkan
jam 12.00 malam.
“Astaghfirullah... dugaan apakah malam ini?” tanya
hatiku sambil menghela nasaf.
“Abang, malam ni kita pulang kerumah abang la, tidak
jauh daripada sini kan” ajak Azry sambil menonton motorku.
“Brom... brom... pon... pon...” bunyi hon motor
datang dari arah belakang kami. Kelihatan tiga orang menaiki dua motor RXZ 150CC
datang dengan pantas mengelilingi kami.
“woi!... serahkan motor kepada kami” tengking
seorang lelaki bertopi keledar sambil menghunus sebilah parang kearah kami.
“kamu semua ni siapa? Kalu berani turun ke sini,
kita lihat berapa tinggi langit dengan bumi” jawab aku sambil membuka dada. Aku
menarik Azry ke belakangku, mereka menongkat motor dan mengepung kami.
Aku membuka langkah silat gayungku, mereka menerkam
dan melibas parang ke arahku, aku mengelak
dan menjatuhkan parang itu, kini bagai buku bertemu ruas, mereka
menyerangku seorang demi seorang, aku menangkis tumbukan-tumbukan mereka,
sehingga aku berjaya menjatuhkan mereka satu persatu, hanya berdiri lelaki yang
bertopi keledar. Dia membuka kekuda, lantas aku menyerangnya, pertarungan
begitu sengit. Namun akhirnya aku berjaya menjatuhkannya ke atas tanah.
Aku menanggalkan topi keledarnya, “woi!... Edry!...
sial kau, kau tidak berubah dari dulu, kau menyusahkan orang-orang kampung, kau
nak jadi apa kat dunia ni hah?” tengking aku sambil melihat tepat dimatanya.
Edry bangun dari rebah, “Salman abang long!... kau
ingat kau akan selamat, selepas kau tinggalkan kumpulan Pedang Silang pada
malam itu, masih banyak hutang belum kau lunaskan” tengking Edry kepadaku
sambil menarik Azry.
Azry terdiam seribu bahasa, tergamam melihat aksi
aku yang berbeza dari sebelumnya. Lantas mereka memaksa Azry menaiki motor dan terus
memecut dengan laju. Aku terduduk menghela nafas memikirkan kejadian yang telah
berlaku.
***
“Haaah...” aku terjaga dari tidur, peluh membasahi
dahiku, kejadian malam semalam menjadikan mimpi aku kembali ke zamanku yang
lalu. Aku lantas bangun dari katil melangkah ke luar rumah, memerhatikan
keadaan tayar motor yang tiada angin. Aku menolak motorku ke bengkel motor
berdekatan rumahku.
“Bang tukarkan tiup motor belakang, tertusuk paku
malam tadi” kata aku kepada tukang motor.
“Nah sudah siap baiki, semua sekali RM20” kata
tukang motor itu sambil mengemas perlatannya. Aku membayarnya dan terus memecut
motor menuju ke rumah tok ketua kampung.
“Assalamualaikum... atok oh atok” aku memanggil tok
ketua kampung.
Pintu rumah dibuka, “ya nak, ada apa datang sini?”
tanya tok ketua kampung kepada aku. Aku menceritakannya kejadian malam semalam
kepadanya.
“Atok rasa lebih baik kamu berjumpa dengan pengawal kampung
kita, mungkin mereka boleh membantu kamu” kata atok dengan nada yang serak.
Aku menuju ketempat yang diberitahu oleh tok ketua
kampung. “aku perlukan pertolong!” Jerit aku kearah sekumpulan manusia yang
berpakaian seragam. Mereka datang menghampiriku, lantas aku menceritakan segala
kejadian semalam kepada mereka.
“Kalian semua boleh bantuku selamatkan Azry?” tanya
aku kepada mereka sambil melihat mata meraka satu persatu.
“Kami boleh bawakan kau ke tempat pesembunyian
mereka” jawab mereka sambil melihat kearah bukit batu dihujung kampung.
Kami bergerak kesana dengan lima buah motor dan
sebuah kereta, masing-masing dari kami dilengkapi dengan senjata dan
kelengkapan untuk menangkap mereka. Api dihatiku membara tinggi bagai tiada tanda
akan terpadam selagimana aku tidak berjaya menyelamatkan Azry.
***
Didalam sebuah gua batu, “abang! kau kenal ke dengan
abang salman?” tanya Azry kepada abangnya Edry.
“Kau budak mentah apa yang kau tahu, macam manalah
kau boleh bersama dengan ketua samseng negeri seberang?” tengking Edry kepada
adiknya sambil menolak kepalanya.
“Abang Salman baik, dia banyak mengajar aku tentang
agama dan kehidupan, kau bila mahu barubah? Mama menangis melihat sikap kau
yang masih tidak berubah” keluh Azry kepada abangnya sambil mengalirkan air
mata.
“Abang long Edry!... tempat kita sudah diserbu”
jerit seorang ahli kumpulan mereka sambil memegang bahunya yang luka. Keadaan
menjadi kelam kabut, masing-masing mengambil barang dan bersiap untuk melarikan
diri.
“Kalian sudah terkepung! Lebih baik menyerahkan diri”
aku berkata dengan pembesar suara sambil mataku melihat tepat kearah dua orang
kembar itu. Pengawal menyerbu mereka, sebahagian mereka menyerahkan diri dan sebahagian
mereka melarikan diri.
“Kau jangan hampiriku, jika tidak aku akan tembak
budak ni” jerit Edry kepadaku sambil meletakkan pistol dikepala Azry.
“Kau jangan buat kerja gila, itu adik kandung kau
sendiri” kata aku kepada Edry. Azry menolak abangnya, Lantas Edry melarikan
dirinya ke dalam hutan, aku mengekorinya dari belakang. Sampai disebatang
sungai yang cetek, aku berjaya menolaknya jatuh, berlaku pergelutan yang sengit
diantara kami. Akhirnya aku terjatuh kekalahan.
“Woi... kau ingat bila kau berubah jadi baik macam
ni boleh masuk syurga” perli Edry kapadaku sambil mengacu pistol kearahku.
“Aku harap Allah akan sedarkan kau suatu hari nanti,
jika aku boleh berubah mengapa kau tidak boleh” jawab aku dengan suara yang
lantang. Mata Edry melihat jauh kehadapan kelibat pengawal datang menghampirinya.
“pom!...pom!...pom!...” beberapa das pistol
dilepaskan. Edry melarikan diri kedalam hutan. Aku mula merasa mengah, nafasku semakin
berat. Mataku mula kabur dan pandanganku menjadi gelap.
***
“Edry!...” aku terjaga dari tidur panjangku, dahiku
berpeluh, datang seorang jururawat kearahku, Azry dan ibunya merapatiku.
“Alhamdulillah... aku masih diberi kesempatan untuk
hidup lagi” bisik hatiku sambil memengang perutku yang masih terluka.
“Salman... “ suara panggilan Ustaz Amir menerpaku.
“Kau ni kalau tidak merisaukan aku tak boleh” perli
Syukry dengan nada kerinduan. Mataku mula berkaca mengalirkan air mata, aku
bersyukur yang teramat sangat kerana hadirnya insan-insan yang baik di dalam
hidupku.
“Semoga engkau akan bahagia sepertiku wahai Edry...”
doaku dalam diam sambil tersenyum menyambut mereka.
24/7/2016, 3.25pm, pejabat ISMA.
-AQI-