Selasa, 11 Februari 2014

Mahasiswa Yang BERKUALITI


Bismillah

Demi masa* Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian* Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran*

Bagaimana menjadikan sebuah masa yang berkualiti

Pepatah melayu mengatakan “masa umpama emas”, pepatah arab mengatakan “masa ibarat pedang jika kamu tidak memotong ia maka ia akan memotong kamu”.

Saya inging membawa pembaca berfikir beberapa persoalan untuk kita muhasabah kembali tingkah laku kita seharian.

Timbul beberapa persoalan:- 

A) Sejauh manakah kita sebagai seorang muslim mengambil berat akan masa yang tersusun dan dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat untuk diri, ummah dan agama?

B) Adakah setiap perbuatan kita itu bermanfaat?

C) Adakah setiap percakapan itu benar?

D)  Adakah setiap langkah kita penuh dengan zikir?

E) Adakah setiap detik itu menambahkan pahala dan mendekatkan diri kepada Allah?


untuk menjawab persoalan-persoalan ini, saya bahagikan kepada 3 bahagian:-

1) Jika kita melihat dari skop seorang mahasiswa khususnya buat mahasiswa di Mesir. Tempoh pembelajaran dalam bidang kedoktoran selama 6 tahun dan bagi bidang keagamaan hanya 4 tahun. Tempoh ini tidaklah mencukupi untuk kita menggali segala khazanah ilmu dan ketamadunan yang terdapat di Mesir. Adalah amat penting untuk kita meletakkan matlamat dan tujuan kita di Mesir. Agar kita mampu menyusun setiap gerakgeri dan perbuatan kita menuju kepada matlamat yang hendak dicapai. Mahasiswa yang berjaya dia mampu untuk mengatur langkah-langkahnya supaya segala yang dilakukan itu bukanlah perkara yang sia-sia. Penyusunan masa yang sempurna adalah penyusunan masa yang dilengkapi kepentingan dirinya, ummah dan agama keseluruhannya. Tidaklah seorang mahasiswa itu menuntut ilmu untuk kepentingan dirinya sahaja melainkan untuk memberi manfaatnya kepada masyrakat dan agama itu sendiri.


2) Jika kita melihat dari skop seorang muslim. Sesungguhnya islam menyuruh ummatnya mengisi masa-masanya dengan beramal soleh. Tujuan amal soleh itu tidak lain dan tidak bukan melainkan hanya untuk mencari keredhaan Allah. Dari situ akan timbul keimanan kepada Allah dan mendekatkan diri kepadanya. Ummat islam sepatutnya menjadikan setiap percakapannya adalah benar dan jauh dari berbohong. Percakapan yang bermanfaat dipenuhi dengan nasihat menasihati dan mengajak orang lain melakukan kebaikan bersama-sama. Begitu juga dengan perbuatan, ummat islam sepatutnya menjadi contoh dan teladan yang baik bagi orang disekitarnya. Teladan dari segala segi termasuklah kepimpinan, kewibawaan, ketegasan, kesukanan dan sebagainya. Sesungguhnya contoh ikutan dan teladan yang paling agung adalah nabi Muhammad SAW.

3) Jika kita lihat dari aspek pahala dan keredhaan Allah. Dua perkara ini tidak akan  dapat dipisahkan. Bagaimana kita mahu menjadikan setiap masa yang berlalu adalah pahala dan diredhai allah?

Perkara utama yang perlu ditekankan ketika itu adalah niat. Setiap perbuatan yang disertai dengan niat yang ikhlas dan menjadikan setiap perbuatannya adalah ibadah kepada Allah. Sebagai contoh seorang mahasiswa yang beniat ketika keluar rumahnya untuk pergi menuntut ilmu kerana Allah. Maka Allah akan memberikan pahala kepadanya bermula dia keluar rumah sehinggalah dia kembali semula. Jika ia mati dalam perjalanannya, tidak lah dia mati melainkan mati dijalan Allah. Kecuali segala perbuatan yang dilakukannya merupakan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dan menyebabkan Allah tidak redha dengan perbuatannya. 

Perkara kedua, setiap langkah dan perbuatannya mengingati Allah iaitu dipanggil zikir. Zikir ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu zikir mulut, zikir hati dan zikir perbuatan. Saya mahu tekankan pada bahagian zikir perbuatan, sebagai contoh seorang penjual ketika berjual beli, dia mengingati bahawa tipu itu haram. Begitu juga mahasiswa ketika dia menuntut ilmu dia mengingati bahawa ilmu itu cahaya allah, tidaklah masuk cahaya Allah itu pada hati yang kotor. Secara ringkasnya zikir perbuatan ini adalah menghindari seseorang dari melakukan perkara yang dilarang oleh allah.

Kesimpulannya, seorang mahasiswa yang muslim seharusnya pandai menyusun masa dengan perkara-perkara yang berfaedah disertai dengannya niat yang ikhlas kerana allah dan disusuli olehnya peringatan-peringatan Allah yang dapat menjauhkan dirinya dari melakukan perkara yang dilarang oleh allah. Wallahu a’lam.


-